Selasa, 24 Februari 2009

Kelab Keusahawanan - Utusan Malaysia

Jun 2003 di Petik daripada Utusan Malaysia

Golongan guru dan pelajar menyambut baik usaha pelbagai pihak dalam memberi pendedahan awal keusahawanan di kalangan pelajar.

Kaunselor Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, Masbah Lamat berkata, sebarang program yang boleh memberi pendedahan awal dan kemahiran berniaga di kalangan pelajar perlu diberi sokongan dalam menjayakannya.

Ini kerana katanya, program itu bukan sahaja dapat menanam minat pelajar untuk menjalankan bisnes tetapi turut membantu mereka memperoleh kemahiran yang tidak dipelajari di sekolah.

``Tiada mata pelajaran keusahawanan ditawarkan di sekolah. Jadi pelajar perlu mempunyai inisiatif untuk mendapatkan kemahiran itu melalui pihak luar, misalnya menerusi pertandingan dan konvensyen keusahawanan anjuran pelbagai pihak,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Pertandingan Rancangan Keusahawanan Antara Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Selangor anjuran Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) di Shah Alam, baru-baru ini.

Pelajar tingkatan lima, SMK Bukit Gading, Sungai Buloh, Shah Al-Hafiz Mat Zawawi pula berkata, kesan positif yang diperoleh daripada pertandingan itu akan digunakannya untuk mendalami bidang perniagaan.

``Walaupun saya tidak berhasrat menceburi bidang perniagaan, saya berminat menyertai pertandingan ini kerana ilmu dan kemahiran yang diperoleh boleh membantu saya berdikari,'' katanya.